Pada dasarnya, ketawa adalah sihat dan adalah naluri yang tidak dapat dihilangkan daripada diri manusia. Syariat pun tidak pernah melarangnya. Tetapi yang tidak digalakkan adalah ketawa secara berlebihan.
Ramai ulama mencela tawa ria secara berlebihan. Hal ini kerana jika manusia dapat merenungi dirinya dan segala amal perbuatannya, sudah tentu mereka akan menangis. Mereka akan memikirkan tentang dosa yang kelak akan dibalas dengan seksaan. Malah, semakin hari, dosa semakin bertambah sedangkan umur semakin berkurangan [makin tua]. Kesempatan untuk berubah dan menghapuskan dosa pun semakin berkurangan. Menurut riwayat yang masyhur, Rasulullah SAW sendiri tidak pernah ketawa hingga terbahak-bahak dan mengeluarkan suara.
Islam mengajak umatnya meratapi dosa dan kejahatan yang pernah dilakukan. Hakikatnya, ibadah malam adalah waktu yang tepat untuk mengadu, meratapi dosa dan memohon keampunan Allah SWT.
Dalam Al-Qur'an, Allah SWT menggambarkan nasib orang yang munafik dan berdosa. Mereka akan banyak menangis di neraka kerana menyesali perbuatannya di dunia. Sebaliknya gelak ketawa mereka sedikit sahaja. Ini berlawanan dengan apa yang mereka lakukan di dunia. Semasa menikmati dunia yang fana, mereka banyak ketawa dan tidak pernah menangisi diri mereka yang penuh dengan dosa. Dalam sepotong ayat, Allah SWT berfirman yang bermaksud,
"Oleh itu, bolehlah mereka ketawa sedikit (di dunia ini) dan mereka akan menangis banyak (di akhirat kelak), sebagai balasan bagi apa yang telah mereka kerjakan." (Surah at-Taubah, ayat 82)
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW berpesan ,
"...Dan janganlah kamu banyak tertawa kerana tertawa yang berlebihan menyebabkan hati menjadi mati."
Rasulullah SAW memberitahu dengan jelas, banyak ketawa mematikan hati. Hati yang mati adalah hati yang keras dan kering, iaitu hati yang enggan menerima petunjuk kebenaran. Malah, jika hati sudah mati, kegelapan akan selalu menyelimuti jiwanya.
~Ketawa yang berlebihan tidak hanya mematikan hati, tetapi juga melenyapkan cahaya iman di wajah seseorang~
Sahabatku, Rasulullah SAW adalah peribadi agung yang mesti dicontohi dan diteladani. Suatu ketika Jabir bin Samurah ditanya oleh Simak, "Adakah kamu sering bersama dengan Rasulullah SAW?" Dia menjawab, "Ya, Baginda adalah seorang yang pendiam dan sedikit ketawa. Jika para sahabat baginda membaca syair ataupun sesuatu yang membuat mereka tertawa, maka Rasulullah SAW hanya akan tersenyum."
Bahkan dalam sebuah hadis riwayat, 'Aisyah pernah menyatakan,
"Aku tidak pernah melihat melihat Rasulullah SAW sekalipun tertawa terbahak-bahak hingga terlihat gigi geraham bawahnya. Baginda hanya sering tersenyum."
Sahabatku, ketawa yang berlebihan (menurut berbagai-bagai riwayat yang disebutkan) sudah tentu tidak membantu mewujudkan hati yang bersemangat mengerjakan ibadah malam. Justeru seseorang yang hendak mengerjakan ibadah malam hingga fajar sebaik-baiknya meninggalkan ketawa yang berlebihan. Ketawa yang terbahak-bahak adalah salah satu daripada sifat syaitan.
Sebenarnya, orang soleh paling bimbang akibat ketawa berlebihan, kerana akibat yang akan membuat hati rosak dan sukar untuk menerima cahaya iman dan petunjuk. Dengan diri yang biasa ketawa terbahak-bahak, hati yang menjadi sumber semangat untuk beribadah mudah hancur. Jadi manusia yang paling mudah bangun malam untuk melaksanakan ibadah adalah mereka yang menjaga mulutnya daripada ternganga ketika ketawa.
::Munajat Malam::
"Bangunlah pada sebahagian malam serta kerjakanlah solat tahajud padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji." (Surah al-Israk 79)