Tiada siapa menafikan manusia adalah insan ciptaan Allah yang dulunya tiada kemudian ada dan lahir ke dunia. Namun, setelah lahir, ia mencintai hidup dan kehidupannya. Lalu ia kemudian berdepan dengan satu kenyataan bahawa ia akan bertemu dengan kematian. Berakhirlah kesenangan atau kesukaran hidup selama di dunia.
Kematian adalah permulaan hidup yang panjang dan kekal abadi. Walaupun ramai yang tidak gemar dengan pertanyaan adakah anda bersedia untuk mati, kematian tetap datang dalam keadaan disenangi atau dibenci. Ia datang pada tiap jiwa bak pencuri, menyelinap masuk lalu keluar membawa roh dan mengeluarkan jasad yang tergolek tidak berdaya. Kemudian, setiap insan akan berasa betapa hidup ini terlalu singkat. Banyak tugas dan tanggungjawab yang belum selesai.
Oleh kerana itu, kematian sinonim dengan tragedi yang mewariskan kesedihan terhadap mereka yang ditinggalkan. “Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan, dan kepada Kamilah kamu semua akan kembali,” (Surah Al-Anbiyaa’:35). Dalam Surah Yunus, ayat 49 Allah SWT menyatakan bahawa kematian tempohnya tidak dapat dilambatkan sesaat pun atau disegerakan. Hal yang sama juga terdapat dalam firman Allah SWT dalam Surah An-Nahl, ayat 61.
Kematian adalah rahsia Allah SWT. Misteri ini adalah satu peringatan bagi manusia supaya tidak membiarkan hidup yang sementara ini dengan sia-sia. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda “Aku tinggalkan bagi kalian dua pemberi peringatan. Yang pertama memberikan peringatan dengan pengajarannya. Yang kedua memberikan peringatan dengan kebisuannya. Yang pertama adalah Al-Quran dan yang kedua adalah kematian.
“Katakanlah (wahai Muhammad): Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu.” (Surah Al-Jumu’ah, ayat 8). Ketakutan menghadapi kematian berbeza-beza antara manusia. Ada yang takut mati kerana tenggelam dalam nikmat dunia. Tapi, ada pula yang takut mati kerana berasa belum cukup dengan bekalan yang perlu dibawa. Takut dalam bentuk kedualah yang patut dipelihara. Bentuk kematian sangat ditentukan oleh kesedaran (ketakutan) akan kematian itu. Sehingga, terdapat dua bentuk kematian iaitu kematian yang membuat diri seseorang istirehat dan kematian yang membuat orang lain istirehat.
Bagi orang beriman, kematian menjadi istirehat panjang di tempat yang penuh damai. Kematian yang diiringi senyuman si mayat dan diiringi tangisan tetamu yang berziarah. Buat penderhaka, kematian menjadikan semua makhluk beristirehat kerana terbebas daripada gangguannya. Kematian yang membuatkan tangisan panjang si mayat di liang kuburnya, sebaliknya disyukuri oleh manusia yang hidup.
Dalam hal ini kematian yang manakah menjadi pilihan kita? Dialah yang mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kami: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya.” (Surah Al-Mulk, ayat 2).
Buat pedoman dan peringatan bagi diri ana sendiri serta antum sume, sesungguhnya ketahuilah bahawa kita semua akan menghadapi kematian, semakin bertambah usia kita dari setahun ke setahun, ingatlah bahawa kita sebenarnya semakin hampir dengan kematian…..Maha Suci Allah…sesungguhnya, jika tergerak hati ini untuk melakukan sesuatu kejahatan, tanyalah diri DI MANA ALLAH DALAM HATI KITA? Allah kah yang patut dicari atau maksiat yang patut ditembusi, bagaimanakah keadaan kita ketika hendak bertemu dengan Allah SWT pd hari pembalasan yang mungkin esok, lusa atau hari ini atau mungkin pada saat ini…sedangkan kita melakukan maksiat kepadaNya???
Ya Allah ya Tuhan kami, hidupkanlah kami dalam iman dan matikanlah kami dalam iman. Himpunkanlah kami dalam iman dan masukkanlah kami ke dalam Syurga dengan rahmat Engkau wahai Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Pemberi Rahmat.
Amin…
nasyidees
GERSANG BUMI TANPA HUJAN GERSANG MINDA TANPA ILMU GERSANG JIWA TANPA AMAL GERSANG HATI TANPA IMAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment