GERSANG BUMI TANPA HUJAN GERSANG MINDA TANPA ILMU GERSANG JIWA TANPA AMAL GERSANG HATI TANPA IMAN
Orang dungu hanya tahu setelah terkena..
Berfirman Allah Taala yang bermaksud:
"Wahai anak Adam, janganlah kamu tergolong dalam golongan mereka yang suka melengah-lengahan taubat dan memanjangkan angan-angan. Janganlah kamu mengharapkan kebahagiaan akhirat tanpa beramal.
Memperkatakan perkataan ahli-ahli ibadah tetapi beramal dengan amalan munafik. Sekiranya diberikan tidak pernah merasa cukup. Sekiranya tidak memperoleh sesuatu, tidak mahu bersabar.
Menyeru kepada kebaikan tetapi tidak melakukan kebaikan. Mencegah kemungkaran tetapi masih bergelumang dengannya.
Mengasihi orang soleh tetapi tidak mahu bersama golongan mereka. Membenci orang munafik tetapi kamu terdiri daipada golongan mereka. Bercakap perkara yang tidak dibuat. Buat apa yang tidak disuruh. Meminta ditunaikan (janji-janji Allah) tetapi ia tidak menunaikan (hak-hakNya).
Wahai anak Adam, setiap hari yang baru, bumi sentiasa menegurmu dengan kata-kata: 'Wahai anak Adam, engkau berjalan di permukaanku dan setelah itu engkau akan disimpan ke dalam perutku. Engkau memakan sebanyak yang diinginkan ketika berada di permukaanku kemudian engkau akan dimakan ulat di dalam perutku.'
Wahai anak Adam, setiap hari bumi berkata kepadamu: 'Wahai anak Adam, aku ialah rumah yang sengsara. Aku ialah rumah yang bakal meninggalkan kamu keseorangan. Aku ialah rumah yang gelap. Aku ialah rumah bagi ular dan kala jengking. Oleh itu makmurkanlah (dengan amal soleh) dan jangan engkau runtuhkan daku.'"
[Petikan Hadis Qudsi, Kitab Imam al-Ghazali: al-Mawa'iz Fil Ahadis al-Qudsiah].
~ Begitulah kehidupan kita di dunia ini, di sebalik semua yang kita lalui di dunia, masih ada alam lain yang perlu kita lalui. Apa yang berlaku di sini sama sekali berbeza keadaannya dengan alam lain. Kehidupan di alam kubur berbeza. Kehidupan di Padang Mahsyar juga tidak sama. Apatah lagi hujung perjalanan ini ialah neraka yang sangat mengerikan.
~ Segala yang bakal berlaku diceritakan perkhabarannya dalam al-Quran dan sunnah. Namun, kesedapan hidup dan kesenangan duniawi menyebabkan kita lupa nasib yang bakal dilalui di alam lain nanti. Kedangkalan akal fikiran, gelora hawa nafsu sering menewaskan manusia dengan umpan-umpan segar. Sedangkan penderitaan yang tidak terperi sakitnya bakal menunggu si alpa ini.
p/s: Justeru, janganlah kita menjadi orang dungu yang akan tersedar, hanya apabila telah terkena.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment