is ALLAH satisfied ???

...mENCARi HIDAYAH ALLAH...


1. PERBANYAKKAN MENYEBUT ALLAH
~perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk~

Menjadi kebiasaan kita menyebut atau memuji-muji orang yang berbuat baik kepada kita. Kadangkala kita terlupa hakikat bahawa terlalu banyak nikmat yang Allah berikan kepada kita.
Lantaran itu, kita terlupa memuji dan menyebut-nyebut nama Allah. Makhluk yang berbuat baik sedikit kita puji habisan tapi nikmat yang terlalu banyak Allah berikan kita langsung tidak ingat.

Sebaik-baiknya, basahi lidah kita dengan memuji Allah setiap masa, bukan ucapan alhamdulillah hanya apabila sudah kenyang hingga sendawa. Pujian begitu hanya di lidah sahaja. Tidak meresap hingga ke hati.



2. PERBANYAKKAN MENYEBUT AKHIRAT

~perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia~


Dunia terlalu sedikit dibandingkan dengan akhirat. Seribu tahun di dunia setimpal dengan ukuran masa sehari di akhirat. Seribu tahun di dunia setimpal dengan ukuran masa sehari di akhirat. Betapa kecilnya nisbah umur di dunia ini berbanding akhirat. Nikmat dunia juga 1/100 daripada nikmat akhirat. Begitu juga seksa dan kepayahan hidup di dunia 1/100 daripada akhirat. Hanya orang yang berfikiran cetek sahaja sibuk memikirkan dunia hingga terlupa akhirat.

Manusia yang paling cerdik adalah mereka yang sibuk merancang wawasan akhiratnya. Saham Amanah Dunia tidak penting. Tetapi perkara paling penting adalah Saham Amanah Akhirat yang tidak pernah rugi dan merundum. Malah sentiasa naik berlipat kali ganda. Oleh itu, perbanyakkan menyebut-nyebut perihal akhirat supaya timbul keghairahan menanam dan melabur saham akhirat.


3. PERBANYAKKAN MENYEBUT DAN MENGINGATI KEMATIAN
~perbanyakkan menyebut dan mengingati hal-hal kematian daripada hal-hal kehidupan~

Kita sering memikirkan bekalan hidup semasa tua dan bersara. Tetapi jarang memikirkan bekalan hidup semasa mati. Memikirkan mati adalah sunat kerana dengan berbuat demikian kita dapat menginsafi diri dan kekurangan amalan yang perlu dibawa ke sana.

Perjalanan yang jauh ke akhirat sudah tentu memerlukan bekalan yang banyak. Bekalan itu hendaklah dikumpulkan semasa hidup di dunia ini. Dunia ibarat kebun akhirat. Apabila tidak diusahakan kebun dunia ini, masakan dapat mengutip hasilnya di akhirat? Dalam hubungan ini, eloklah dicontohi sikap Ali bin Abu Talib. Meskipun sudah terjamin masuk Syurga, Ali masih mengeluh dengan hebat tentang kurangnya amalan untuk dibawa ke akhirat yang jauh perjalanannya. Bagaimana pula dengan diri kita yang kerdil dan bergelumang dengan dosa?


4. JANGAN MENYEBUT-NYEBUT KEBAIKAN DIRI DAN KELUARGA

Syaitan sentiasa hendak memerangkap diri kita dengan menyuruh ataupun membisikkan kepada diri kita supaya sentiasa mengingat ataupun menyebut-nyebut kebaikan yang kita lakukan sama ada kepada diri sendiri, keluarga ataupun masyarakat amnya. Satu kebaikan yang dibuat, kita sebut-sebut selalu seperti resmi ayam, bertelur sebiji riuh sekampung. Kita terlupa, dengan menyebut dan mengingat kebaikan kita sudah menimbulkan penyakit hati iaitu ujub.

Penyakit ujub ini ibarat api dalam sekam, boleh merosakkan pahala kebajikan yang kita buat. Lebih dahsyat lagi apabila menimbulkan riyak atau bangga diri. Allah sudah memberi amaran kepada sesiapa yang memakai sifatnya iaitu riyak tidak akan mencium bau Syurga. Riyak adalah salah satu unsur syirik (khafi).

Oleh itu, eloklah kita berhati-hati supaya terhindar diri daripada mengingati kebaikan diri kita kepada orang lain. Kita perlu sedar bahawa perbuatan baik yang ada pada diri kita itu sebenarnya datang daripada Allah. Allah yang menyuruh kita berbuat baik. Jadi, kita patut bersyukur kepada Allah kerana menjadikan kita orang baik, bukannya mendabik dada mengatakan kita orang baik. Kita terlupa kepada Allah yang mengurniakan kebaikan itu.


5. JANGAN SEBUT-SEBUT KEAIBAN ORANG

Jangan sebut-sebut dan nampakkan keaiban ataupun keburukan diri orang lain. Kegelapan hati ditokok dengan rangsangan syaitan selalu menyebabkan diri kita menyebut-nyebut kesalahan dan kekurangan orang lain. Kita terdorong melihat keaiban orang sehingga terlupa melihat keaiban dan kekurangan diri sendiri. Bak kata orang tua-tua, 'kuman seberang lautan nampak, tapi gajah di depan mata tak kelihatan'.

Islam menuntut kita melihat kekurangan diri supaya dengan cara itu kita dapat memperbaiki kekurangan diri kita. Sebenarnya, menuding jari mengatakan orang lain tidak betul memberikan isyarat bahawa diri kita tidak betul. Ibarat menunjuk jari telunjuk kepada orang; satu jari arah ke arah orang itu tetapi empat jari lagi menuding ke arah kita. Bermakna, bukan orang itu yang buruk malah diri kita yang lebih buruk daripadanya.

Oleh sebab itu, biasakan diri kita melihat keburukan diri kita, bukan keburukan orang lain. Jangan menjaga tepi kain orang sedangkan tepi kain kita koyak rabak. Dalam Islam ada digariskan sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan sesama manusia. Lihatlah kebaikan yang ada pada diri orang lain, meskipun ada banyak kejahatan yang ada pada dirinya. Apabila melihat diri kita pula, libat kejahatan yang ada pada diri kita walaupun kita pernah berbuat baik. Hanya dengan cara ini kita terselamat daripada bisikan syaitan yang sentiasa mengatur perangkap bagi menjerumuskan kita ke dalam api neraka.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

My dear brother and sister
It’s time to change inside
Open your eyes
Don’t throw away what’s right aside
Before the day comes
When there’s nowhere to run and hide
Now ask yourself ’cause Allah’s watching you

Is He satisfied?
Is
Allah satisfied?

..Lantunan DOA...


Wahai Allahku dengan keghaiban ilmuMu
dengan KekuasaanMu atas segenap ciptaanMu
hidupkanlah diriku dengan kehidupan yang baik menurutMu
dan matikanlah diriku dengan kematian yang baik menurutmu.

Wahai Allahku,
kurniakan kepadaku rasa rasa takut kepadaMu
baik dalam keadaan samar mahupun terang
Aku memohon kepadaMu perkataan yang benar dan lurus
di saat marah dan reda
Aku mohon kepadaMu, kewujudan tujuan
di saat miskin dan kaya
Aku mohon kepadaMu anugerah nikmat yang tiada pernah habis
Aku pinta kepadaMu permata hati yang tidak terputus
Aku mohon kepadaMu perasaan rela menerima ketentuan takdirMu
serta kedinginan (kedamaian) hidup selepas kematian
Aku mohon kepadaMu supaya mampu melihat wajahMu yang Mulia,
serta kerinduan untuk bertemu denganMu
tanpa ada yang menghalangi diriku
Aku mohon kepadaMu agar tidak ada hujaman fitnah yang memayungi hidupku

Wahai Allahku,
rahmatilah diriku dengan kebaikan iman
hiasilah diriku dengannya.

Wahai Allahku,
berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Kau beri petunjuk.

Ameen Ya Rabb..


[ Ammar Ibn Yasir: Aku pernah mendengar Rasulullah SAW melantunkan doa ini]

~Lambaian RAMADHAN Al-Mubarak~


Bahang Ramadhan kian terasa
Saat Sya’ban menampil diri
Dan tanpa sedar berlari
Meninggalkan kita
Merentas hari dan waktu
Tanpa perlu kita menghitung
Dalam kiraan panjang kehidupan
Ramadhan bakal datang
Menjengah diri dalam
Rekahan nafsu insan
Yang bergelodak sepanjang musim
Dalam diam meriak kesedaran
Buat mukmin yang patuh pada
Yang Maha Khaliq
Ramadhan datang lagi
Untuk mengulangi tuntutan hakiki
Sambil berputar fikiran ini
Bertanya pada diri
Apakah Ramadhan kali ini
Sama seperti akhir kali
Yang banyak dibiarkan berlalu
Tanpa diisi dengan iqra’ dan zikir
Tanpa tasbih dan takbir...
Syukur pada Ilahi kerana Ramadhan
Masih sempat ditempuhi…
Semoga Ramadhan kali ini adalah lebih baik
Daripada Ramadhan yang telah lalu…

AMIN…

~~~~~~~~~~

salam Ramadhan Al-Mubarak..
jom pakat berpesta IBADAH.. jom pakat ikhlaskan hati serta istiqamah beribadah untuk mendapat keredhaan dari Yang Maha Pemberi Kurnia

moga keimanan dan ketaqwaan kita bertambah
&
semoga Allah swt menerima segala amal ibadat kita.

~sELAmAT hARi LAHiR...::ayah::..~

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah, puji syukur yang tak terhingga kepada Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, selawat dan salam semoga selalu tercurah kepada junjungan mulia Muhammad Rasulullah SAW.



Ayah... insan yang amat berjasa dalam hidupku. Sanggup bergadai nyawa demi zuriat tercinta. Ya Allah...sesungguhnya aku amat menyayangi, menghormati, menghargai ayah... ku bersyukur ayah sangat menyayangi kelapan-lapan orang anak ayah tanpa syarat... moga Allah swt merahmati hidup ayah dunia akhirat...ameen~


~hadiah untuk ayah~


Alhamdulillah... tanggal 04.08.2010 bersamaan 23 Sya'aban 1431 H, genap usia ayah 52 tahun. Puji syukur Ya Allah atas segala nikmat yang Engkau kurniakan buat ayah dan keluargaku.. alhamdulillah.

~sangat yakin akan janjiNya... semakin meningkat usia kita, semakin hampir kita dengan kematian~ ~semoga Allah swt memberkati usia ayah... semoga hari-hari yang dilalui ayah bermanfaat.. moga kebaikan sentiasa mengiringi hidup ayah.. semoga bertambah keimanan dan ketaqwaan ayah padaMu Ya Rabb~


~wahai Allah.. perkenankanlah~

ikhlas: anak ayah =)

~tidak banyak kETAWa..sumber semangat ibADAH mALAm~

"Jangan banyak ketawa sebab hati yang selalu berkomunikasi dengan Allah (zikir) sangat tenang dan tenteram". ~Hasan al-Banna~

Pada dasarnya, ketawa adalah sihat dan adalah naluri yang tidak dapat dihilangkan daripada diri manusia. Syariat pun tidak pernah melarangnya. Tetapi yang tidak digalakkan adalah ketawa secara berlebihan.

Ramai ulama mencela tawa ria secara berlebihan. Hal ini kerana jika manusia dapat merenungi dirinya dan segala amal perbuatannya, sudah tentu mereka akan menangis. Mereka akan memikirkan tentang dosa yang kelak akan dibalas dengan seksaan. Malah, semakin hari, dosa semakin bertambah sedangkan umur semakin berkurangan [makin tua]. Kesempatan untuk berubah dan menghapuskan dosa pun semakin berkurangan. Menurut riwayat yang masyhur, Rasulullah SAW sendiri tidak pernah ketawa hingga terbahak-bahak dan mengeluarkan suara.

Islam mengajak umatnya meratapi dosa dan kejahatan yang pernah dilakukan. Hakikatnya, ibadah malam adalah waktu yang tepat untuk mengadu, meratapi dosa dan memohon keampunan Allah SWT.

Dalam Al-Qur'an, Allah SWT menggambarkan nasib orang yang munafik dan berdosa. Mereka akan banyak menangis di neraka kerana menyesali perbuatannya di dunia. Sebaliknya gelak ketawa mereka sedikit sahaja. Ini berlawanan dengan apa yang mereka lakukan di dunia. Semasa menikmati dunia yang fana, mereka banyak ketawa dan tidak pernah menangisi diri mereka yang penuh dengan dosa. Dalam sepotong ayat, Allah SWT berfirman yang bermaksud,

"Oleh itu, bolehlah mereka ketawa sedikit (di dunia ini) dan mereka akan menangis banyak (di akhirat kelak), sebagai balasan bagi apa yang telah mereka kerjakan." (Surah at-Taubah, ayat 82)

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW berpesan ,

"...Dan janganlah kamu banyak tertawa kerana tertawa yang berlebihan menyebabkan hati menjadi mati."

Rasulullah SAW memberitahu dengan jelas, banyak ketawa mematikan hati. Hati yang mati adalah hati yang keras dan kering, iaitu hati yang enggan menerima petunjuk kebenaran. Malah, jika hati sudah mati, kegelapan akan selalu menyelimuti jiwanya.

~Ketawa yang berlebihan tidak hanya mematikan hati, tetapi juga melenyapkan cahaya iman di wajah seseorang~

Sahabatku, Rasulullah SAW adalah peribadi agung yang mesti dicontohi dan diteladani. Suatu ketika Jabir bin Samurah ditanya oleh Simak, "Adakah kamu sering bersama dengan Rasulullah SAW?" Dia menjawab, "Ya, Baginda adalah seorang yang pendiam dan sedikit ketawa. Jika para sahabat baginda membaca syair ataupun sesuatu yang membuat mereka tertawa, maka Rasulullah SAW hanya akan tersenyum."

Bahkan dalam sebuah hadis riwayat, 'Aisyah pernah menyatakan,

"Aku tidak pernah melihat melihat Rasulullah SAW sekalipun tertawa terbahak-bahak hingga terlihat gigi geraham bawahnya. Baginda hanya sering tersenyum."

Sahabatku, ketawa yang berlebihan (menurut berbagai-bagai riwayat yang disebutkan) sudah tentu tidak membantu mewujudkan hati yang bersemangat mengerjakan ibadah malam. Justeru seseorang yang hendak mengerjakan ibadah malam hingga fajar sebaik-baiknya meninggalkan ketawa yang berlebihan. Ketawa yang terbahak-bahak adalah salah satu daripada sifat syaitan.

Sebenarnya, orang soleh paling bimbang akibat ketawa berlebihan, kerana akibat yang akan membuat hati rosak dan sukar untuk menerima cahaya iman dan petunjuk. Dengan diri yang biasa ketawa terbahak-bahak, hati yang menjadi sumber semangat untuk beribadah mudah hancur. Jadi manusia yang paling mudah bangun malam untuk melaksanakan ibadah adalah mereka yang menjaga mulutnya daripada ternganga ketika ketawa.

::Munajat Malam::


"Bangunlah pada sebahagian malam serta kerjakanlah solat tahajud padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji." (Surah al-Israk 79)

..harapan padaMu subur kembali..


wahai Tuhanku yang Esa
bila kenangkan qohharMu
rasa gerun di hatiku
kerana takutkan seksaMu

hambaMu rasa berputus asa
siapakah dapat bersihkan diri
dari segala dosa yang memburu
setiap hari setiap ketika

tika mengenang ghoffarMu
putus asa tiada lagi
semangatku pulih semula
harapanku subur kembali

ujian menimpa menekan dijiwa
tak sanggup meneruskan perjuanganku
mehnahMu itu penghapus dosaku
mengganti hukuman di akhirat

diwaktu mengenang rahmatMu
terasa diri kurang bersyukur
padaMu harus ku memohon
moga syukurku bertambah

alangkah susahnya mendidik nafsuku
yang tidak melihat kebenaranMu

ya Allah Tuhanku, bantulah hambaMu
dalam mendidik jiwaku ini...

~Wahai Allah perkenankanlah~

alangkah indahnya...

ALANGKAH indahnya menjadi anak yang taat dan suka berbakti kerana Syurga terletak di bawah telapak kaki ibu. Andai hendak menggapai balasan Syurga, ketaatan itulah salah satu caranya.

Firman Allah s.w.t kepada Nabi Musa a.s: Hai Musa: Senangkanlah hati kedua orang tuamu. Sesungguhnya barang siapa menyenangkan hati orang tuanya, umurnya akan dipanjangkan dan akan dikurniakan anak yang menyenangkan hatinya pula. Barang siapa pula yang derhaka kepada orang tuanya, umurnya akan dipendekkan dan diberi anak yang derhaka kepadanya.

Hendak mencari pahala dengan mudah? Caranya juga mudah. Ada tiga perkara yang memberi kita pahala, iaitu melihat al-Qur'an, melihat kaabah dan melihat wajah ibu. Semudah itu kan?

Jika terasa rindu pada ibu (sesungguhnya beruntunglah sesiapa yang ibunya masih ada.. alhamdulillah..) pergilah bertemu dengannya dan tataplah wajahnya dengan pandangan kasih kita. Biarlah ibu kata.... kau ni buang tabiat ke? Kita senyum saja.

Pada zaman Rasulullah s.a.w junjungan mulia, telah datang seorang pemuda lalu dia berkata kepada baginda: Saya ingin pergi berjihad (perang fisabilillah). Rasulullah s.a.w bertanya: Adakah kedua-dua ibu ayahmu masih hidup? Jawabnya: Ya, kedua-duanya. Sabda Rasulullah s.a.w: Melayani kedua-duanya samalah seperti jihad.

Jelaslah kepada kita, berperang itu sama besarnya seperti berbakti kepada ibu ayah. Jadi, jika ada dua pilihan seperti kisah di atas, pilihan kedua itu sama pahalanya seperti pilihan pertama. Ya..... alangkah mudahnya mencari pahala!

~Tiada suatu perkara yang paling memberatkan timbangan (kebaikan) seorang mukmin pada hari kiamat selain daripada akhlak mulia & sesungguhnya Allah amat benci kepada orang yang buruk perbuatan dan ucapannya. (Riwayat At-Tirmizi).

~Daripada Abu Umamah al-Bahili, Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah, malaikat & penduduk langit & bumi; hinggakan semut di dalam lubang & juga ikan paus (meliputi seluruh haiwan di darat & di laut) mendoakan kebaikan ke atas orang yang mengajar perkara yang baik kepada manusia. Riwayat At-Tirmizi~

~Redha Allah terletak pada ibu bapa
alam ini kekal kerana kasih sayang mereka berdua~



"Wahai Allah... Tuhan yang menguasai kerajaan langit dan bumi. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkanMu. Aku memohon dalam kerendahan hati ini agar Kau limpahkan rahmat kasih sayangMu kepadaku serta kedua-dua ibubapaku. Ampunilah segala dosa kami, Ya Allah. Tanpa keampunanMu, semakin hinalah langkahku di atas bumi ini. Sesungguhnya alangkah indahnya jika aku menjadi hambaMu yang taat pada suruhanMu serta berbuat baik kepada kedua ibu bapaku. Bimbinglah aku menjadi anak yang solehah. Kurniakanlah kepadaku sifat dan naluri anak yang menjadi penyejuk mata di dunia dan menjadi penyelamat di akhirat. Jika tidak kerana limpahan rahmatMu, nescaya aku termasuk dalam kalangan hambaMu yang rugi.
Ku mohon setulus hati...kabulkanlah permintaanku ini, Ya Allah.
Ameen. "







Hasbi Needs Help: Sahabatku, Ini Kisahku, Sudikah Kiranya Jika Kalian Membantu?

Assalamualaikum buat sahabat semua , harap dapat luangkan masa untuk membaca dan sebarkan pada sahabat2. Syukran. Let's give a helping hand. Semoga dengan sedikit usaha kita meringankan beban orang lain,Allah akan meringankan beban kita pula kelak,insyaAllah...


Hasbi Needs Help: Sahabatku, Ini Kisahku.. Sudikah Kiranya Jika Kalian Membantu?

sila klik sini: http://hasbineedshelp.blogspot.com

~mengukur calon Suami~

“Bagaimana mencari lelaki yang sesuai untuk dijadikan teman hidup?” tanya Azura kepada rakan-rakannya, memulakan perbincangan pada petang yang amat panas itu. “Ha! Aku teringat nasib kakak aku. Sebelum kahwin teman lelakinya menjanjikan macam-macam. Dua tiga tahun lepas kahwin dah tak nampak batang hidung. Aku tak mahu kahwin, lelaki sekarang tak boleh pakai.” Lisa mengeluh dengan nada benci lelaki. “Ehh! Ada juga jenis yang balik ke rumah, tetapi hanya tonton TV, baca surat khabar dan merungut itu ini. Kalau lelaki macam itu jadi suami, memang lagi bagus tak balik rumah langsung!” Azlin mencelah, menghebatkan lagi analisa mereka tiga sekawan tentang lelaki.

“Issy! Takkan tak ada lelaki yang boleh dipercayai, penyayang, bertanggungjawab dan matang untuk kita jadikan teman hidup, untuk kita jadikan suami?” Azura kehairanan. “Ya, tentu ada. Akan tetapi jumlahnya sedikit dan sukar untuk ditemui. Kalau sekadar lelaki memang ada di sana sini. Namun lelaki yang memiliki ciri-ciri suami umpama yang awak cakap tu, susah nak cari.” Azlin menjelaskan hakikatnya. Lisa terus menyampuk: “Lagipun sambil kita mencari dan memilih, bagaimana kita hendak tahu selepas kahwin nanti dia akan OK, atau merudum kualitinya sebagai suami sekaligus lelaki?”

Saya agak yakin perbincangan atau persoalan di antara tiga sekawan di atas merupakan sesuatu yang lazim – atau setidak-tidaknya pernah – bermain-main di fikiran para pembaca sekalian. Iyya! Dalam rangka kita belajar menambah ilmu, dalam rangka kita beramal sebagai seorang muslimat, dalam rangka kita bercita-cita menjadi individu cemerlang, tentu kita juga merancang untuk mendirikan rumahtangga yang bahagia. Akan tetapi nisbah kebahagiaan rumahtangga mutakhir ini yang lebih condong kepada tidak bahagia dan penceraian menyebabkan ada di antara kita yang merasakan ia satu rancangan yang sukar untuk dicapai.

Namun saya yakin para pembaca sekalian bukanlah orang yang mudah berputus asa. Jangan mengeluh jangan merungut, sebaliknya berusahalah mencari ilmu tentang kehidupan berumahtangga. Ilmu ini bermula sejak awal, sejak langkah-langkah awal mencari pasangan yang sesuai. Berkenaan mencari pasangan ini, Rasulullah s.a.w. telah berpesan: Seorang wanita dinikahi kerana empat sebab: hartanya, keluarganya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah kerana agamanya, jika tidak kamu akan rugi. [Shahih al-Bukhari, no: 5090]

Meskipun hadis di atas ditujukan kepada lelaki tentang bagaimana hendak memilih calon isteri, ia juga boleh digunakan oleh wanita tentang bagaimana hendak memilih calon suami. Justeru berdasarkan hadis di atas, ciri yang perlu diberi prioriti ialah kadar dan nilai agama calon suami.


Mengukur Agama Seseorang?
Senang dibaca dan senang disebut, tetapi tidak senang untuk dipraktikkan. Bagaimana hendak mengukur agama calon suami bagi menentukan dia benar-benar sesuai? Izinkan saya berkongsi beberapa tips pada kesempatan ini.

Agama calon suami tidak cukup sekadar Islam, tetapi hendaklah merupakan seorang muslim yang baik, yang shalih. Keshalihan tidak diukur dengan ibadah yang lazim umpama solat lima waktu dan puasa sebulan pada bulan Ramadhan sebab itu memang wajib. Namun ia diukur dengan ibadah yang sukar dilakukan, yang jarang-jarang dilakukan, yang dapat memberi isyarat tentang peranan calon apabila bergelar suami kelak.

Ibadah yang saya maksudkan ialah sikap calon suami terhadap ibubapanya, khasnya ibu. Jika anda mahukan suami yang boleh dipercayai, penyayang, bertanggungjawab dan matang, maka perhatikan sikap calon suami anda terhadap ahli keluarganya. Jika beliau merupakan orang yang dipercayai oleh ibubapanya, menyayangi lagi bertanggungjawab menjaga ibubapanya serta matang membuat keputusan yang melibatkan urusan keluarganya, maka semua itu merupakan isyarat yang amat kuat bahawa beliau juga akan menjadi suami yang bagus. Ini kerana berbuat baik kepada ibubapa merupakan ibadah yang amat tinggi nilainya, sekaligus menjadi alat pengukur yang tepat bagi kadar agama seseorang dan hubungannya dengan Allah s.w.t.. Rasulullah s.a.w. menekankan: Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa. [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 1899] Dalam sebuah hadis lain: Seorang lelaki datang menemui Rasulullah s.a.w. dan bertanya: “Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ayah kamu.”[Shahih al-Bukhari, no: 5971] Justeru di antara ibu dan bapa, calon suami hendaklah mengutamakan ibunya. Jika calon suami prihatin kepada ibunya, sentiasa sedia membantu ibunya, kerap berhubung dengan ibunya dan lazim mengeluarkan belanja untuk ibunya, bererti dia seorang anak yang shalih. Jika calon suami bersikap demikian terhadap ibunya, maka ia merupakan petanda yang besar bahawa beliau juga akan bersikap demikian kepada bakal isterinya.

Sebaliknya jika calon suami mengabaikan ibubapa, masih mengharapkan penjagaan ibubapa, kerap menderhakai mereka, maka dia seorang yang memiliki kadar agama yang rendah. Lebih buruk jika calon suami berani meninggikan suara kepada ibu tetapi tidak kepada ayah, bererti dia manusia yang memandang remeh kepada wanita. Lelaki seperti ini tidak patut dijadikan calon suami kerana terdapat kemungkinan yang amat besar dia juga akan bersikap seumpama terhadap bakal isteri dan keluarganya.

Mengukur Agama Sendiri.

Dalam rangka anda mengukur agama bakal suami, jangan lupa untuk mengukur agama diri sendiri. Di samping menjaga amal ibadah yang lazim umpama solat, puasa, membaca al-Qur’an, menutup aurat dan membatas interaksi dengan yang lelaki bukan mahram, jagalah juga hubungan anda dengan ibubapa. Berbuat baiklah kepada mereka, khasnya ibu. Berbuat baik bukan semata-mata untuk lulus penilaian calon suami tetapi sebagai ibadah kepada Allah s.w.t.

SUMBER: http://hafizfirdaus.com



..::tiada aku tanpamu, restumu Syurga nafasku, duhai ayah ibu::..
~ KASIHMU SEMERBAK FIRDAUSI~ ruhana zaki

kasihmu semerbak firdausi mengajak kita menghayati betapa sucinya kasih ayah dan ibu. Hargailah mereka ketika denyut nafas masih dipinjamNYA dan teruslah berbakti meskipun jasad mereka sudah reput dimamah bumi. Izinkan kenangan indah bersama insan rabbani ini terus hidup dalam jiwa kita.

Seandainya kita telah berusaha sedaya upaya, serahkanlah semuanya pada Allah. Dialah yang Maha Pemberi Rezeki. Moga Allah Ta'ala mempertemukan jodoh yang soleh dan solehah bagi hamba2NYA yang sentiasa yakin akan janjiNYA..

Luruskan niatmu , jangan bernikah kerana keSERONOKan di dalamnya, jangan pula kerana orang mengatakannya BAIK atau apa sebab lain pun selain dari Aku nikah kerana ALLAH dan SUNNAH RASULULLAH!...dan carilah pernikahan yang barakah.

KERANA Sesungguhnya bahagia bukan terletak pada kesenangan hidup, banyaknya harta, indahnya pasangan dan sebagainya.

Sama-sama renungi firman Allah: “ Dan diantara tanda-tanda( kebesaran) Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri,agar kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya. Dan menjadikan diantaramu rasa kasih dan sayang”. (QS anRuum:21)

~Justeru, saya mengingatkan diri sendiri dan mengajak sahabat2 muhasabah balik dari setiap aspek dalam diri kita sama ada kita ni semakin dekat dengan Allah atau sebaliknya..bagaimana keakraban, ketaatan, kejujuran, keikhlasan kasih sayang dan hubungan yang tersemai kukuh antara kita dengan ibu bapa kita..ibu bapa tanggung jawab anak2 sepanjang hayat..andaikata kita sudah mempunyai calon, bersegeralah untuk mengikat hubungan yang halal bagi mengelakkan kita terjerumus ke lembah kemaksiatan. . Moga2 Allah merahmati hidup kita dunia akhirat..ameen~

Wallahua'lam..

..::kuiz ramalan nasib di facebook::..


Bagi mereka yang mendaftarkan akaun Facebook dan aktif menggunakannya pasti sedia maklum bahawa antara aplikasi menarik di dalam Facebook ialah membuat kuiz. Sesiapa sahaja yang mempunyai akaun Facebook boleh mencipta apa sahaja kuiz dengan hanya mengikuti aturan-aturan yang mudah. Kini, kedapatan lambakan bentuk kuiz yang tersedia dalam Facebook, dan sesetengah pengguna menjadi ketagih dengan kuiz-kuiz ini.

Dari sisi positif, aplikasi kuiz ini boleh dimanfaatkan sebagai satu medium dakwah yang menarik. Iaitu dengan mencipta kuiz-kuiz berbentuk ilmiah dan keagamaan. Sekurang-kurangnya pencipta kuiz boleh mempelajari skill membuat soalan yang berkesan dan pengguna yang menyertainya pula dapat mengulangkaji maklumat-maklumat yang mungkin sudah lama ditinggalkan.

Malangnya, kebebasan mencipta kuiz di Facebook telah disalahgunakan oleh sesetengah pengguna dengan membuat kuiz-kuiz yang boleh mencemarkan akidah dan kepercayaan. Antaranya kuiz horoskop, kuiz ramalan nasib, kuiz ramalan jodoh, kuiz ramalan di mana dan bila anda mati dan lain-lain.

Contohnya, dalam kuiz ‘Singkap Rahsia di Sebalik Nama’, jika seseorang bernama ALI menyertainya, setelah mengikuti aturan ringkas, jawapan yang akan diberikan adalah seperti di bawah:

ALI: 1+3+9=13
1 + 3 = 4

Nombor Rahsia disebalik nama anda ialah : 4

Mereka hanya akan bertindak apabila faham sepenuhnya tentang apa yang sepatutnya mereka lakukan.

Jika anda mengikuti kuiz ‘Singkap Rahsia Nombor Lahir Anda’ pula, dan anda memasukkan sebagai contoh tarikh 1 Januari 1979, maka ramalan yang tertera ialah:

1 + 1 + 1979 = 1981
1 + 9 + 8 + 1 = 19
1 + 9 = 10
1 + 0 = 1
Nombor Tarikh Lahir anda ialah :1
Golongan ini merupakan yang paling jujur dan boleh mempelajari dengan baik teknik diplomasi.

Tidakkah satu kejahilan tentang agama dan kebebalan yang melampau, apabila sikap seseorang insan boleh diketahui melalui ejaan namanya atau susunan tarikh lahirnya? Sejak bilakah Allah Taala menjadikan ejaan nama seseorang dan susunan tarikh lahir sebagai alamat bagi sifatnya?

Malah, terdapat juga kuiz-kuiz yang lebih dahsyat seperti kuiz meramalkan di mana dan bilakah anda mati. Berdasarkan soalan-soalan dalam kuiz seperti ini, saya percaya bahawa orang yang membuat kuiz ini hanya main-main sahaja. Tidak berdasarkan kepada mana-mana teori atau falsafah.

Contohnya, saya menjawab secara rambang satu kuiz bertajuk ‘Di mana kamu mati’. Jawapan yang tertera ialah:

Di Rumah.
Lu mati jatuh dari tangga paling atas ke bawah tanggal 03 Maret 2014.

KEWAJIPAN MEMELIHARA AKIDAH

Berdepan dengan kemunculan tukang ramal dan ahli nujum moden di dalam Facebook, kita sebagai orang beriman wajib mempelajari dan memelihara akidah yang sahih. Agar dapat mengelak daripada kemurkaan Allah, dan membezakan antara hak dan batil.

Ramalan nasib, ramalan kematian, dan ramalan jodoh yang berasaskan kepada kaedah nama, warna kegemaran, dan seumpamanya adalah satu pencemaran dalam akidah Qadha’ dan Qadar. Kerana ilmu tentang perkara ghaib adalah hak mutlak Allah Taala, yang tidak dikongsikan dengan sesiapa pun kecuali yang dikhabarkan kepada rasul-rasulNya.

Allah menegaskan dalam Al-Quran:

عَالِمُ الْغَيْبِ فَلا يُظْهِرُ عَلَى غَيْبِهِ أَحَدًا إِلا مَنِ ارْتَضَى مِنْ رَسُولٍ

Maksudnya: “Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun. Melainkan kepada mana-mana Rasul yang di redaiNya. (Al-Jinn: 25-26).

HUKUM BERTANYA TUKANG RAMAL

Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam telah melarang umatnya daripada bertemu dengan tukang ramal, apatah lagi mempercayai ramalannya.

Sabda baginda:

من أتى عرافا فسأله عن شيء لم تقبل له صلاة أربعين ليلة

Maksudnya, “Sesiapa mendatangi tukang ramal lalu bertanyakan sesuatu kepadanya, maka tidak diterima sembahyang baginya selama empat puluh malam”. (Direkod oleh Muslim).

Di dalam hadis lain:

مَنْ أَتَى كَاهِنًا أَوْ عَرَّافًا فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُول فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّد

Maksudnya, “Sesiapa mendatangi tukang ramal lalu mempercayai apa yang dikatakannya, maka dia telah kufur kepada apa yang diturunkan ke atas Muhammad”. (Direkod oleh Ashab Al-Sunan).

Mendatangi tukang ramal bukanlah satu kekufuran atau syirik secara mutlak. Menurut Syeikh Al-Utsaimin, ia boleh dibahagikan kepada tiga katagori.

Pertama: Orang yang datang kepada tukang ramal untuk bertanya ramalan sesuatu, tetapi tidak mempercayainya. Perbuatan ini adalah haram, dan balasannya ialah tidak diterima sembahyang selama 40 hari.

Kedua: Orang yang bertanya tukang ramal, dan mempercayai apa yang diramalnya. Perbuatan ini selain haram, ia menyebabkan jatuh kafir kepada Allah. Kerana mempercayai bahawa tukang ramal mengetahui perkara-perkara ghaib yang merupakan hak mutlak Allah. Ia juga satu bentuk mendustakan ayat-ayat Al-Quran yang menegaskan bahawa ilmu ghaib adalah kepunyaan Allah semata-mata.

Ketiga: Orang yang bertanya tukang ramal kerana maslahah untuk menyelidiki dakwaannya. Supaya dapat dijelaskan pendustaannya atau diambil tindakan terhadapnya. Tindakan ini adalah harus sebagaimana Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bertanya beberapa soalan terhadap Ibn Shoyyad.

Justeru, sebelum pengguna Facebook menyertai kuiz-kuiz ramalan, pastikan dulu dia termasuk dalam kategori manakah.

SEKADAR MAIN-MAIN

Sesetengah penagih kuiz-kuiz ini mempertahankan tindakan mereka dengan hujah kuiz-kuiz ramalan itu hanyalah satu bentuk permainan merehatkan minda sahaja, tanpa mempercayainya.

Sedarkah mereka bahawa dalam perkara Akidah, kita dilarang menjadikannya sebagai main-mainan dan olok-olokan? Bolehkah akidah tentang qadha dan qadar dijadikan main-mainan? Akidah bahawa Allah sahaja yang mengetahui perkara ghaib boleh dijadikan bahan mainan?

Di samping itu, adakah kita pasti kuiz-kuiz seperti itu langsung tidak memberi kesan kepada akidah pengguna Facebook yang rata-ratanya adalah remaja dan muda-mudi? Bagi saya, kuiz-kuiz ramalan di dalam Facebook adalah satu fitnah terhadap pengguna-pengguna Muslim, terutama mereka yang cetek ilmu agama.

Mereka yang bertanggungjawab mencipta kuiz-kuiz ini, hendaklah bertaubat kepada Allah kerana perbuatan mereka boleh membawa fitnah dan bencana kepada akidah orang Islam lain. Allah berfirman:

إِنَّ الَّذِينَ فَتَنُوا الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَتُوبُوا فَلَهُمْ عَذَابُ جَهَنَّمَ وَلَهُمْ عَذَابُ الْحَرِيقِ

Maksudnya, “Sesungguhnya orang-orang yang menimpakan bencana untuk memesongkan orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab Neraka Jahanam dan mereka akan beroleh lagi azab api yang kuat membakar. (Al-Buruj: 10).

sumber: http://www.kekoh.blogspot.com

~"Wahai Allah...jadikanlah aku alat kasihMu. Di mana ada benci, biarkan aku menebarkan cinta. Di mana ada hati-hati terluka, biarkan aku menjadi penghibur, di mana ada keraguan, biarkan aku menebarkan keyakinan. Di mana ada putus asa, biarkan aku menebarkan harapan. Di mana ada kesedihan, biarkan aku berkongsi bahagia. Di mana ada kegelapan, biarkan aku memberi cahaya"~ Sulaiman al-Kumayi

..moga bermanfaat..InshaAllah

~alhamdulillah...akhirnya 'dia' kumiliki (^_^)~

Assalamualaikum..
Alhamdulillah, puji syukur yang tak terhingga kepada Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, selawat dan salam semoga selalu tercurah kepada junjungan mulia Muhammad Rasulullah SAW.

Dua minggu sudah berlalu, dua minggu juga 'dia' telah kumiliki.. Alhamdulillah, atas nikmat kurniaanNya..alhamdulillah, juga atas kurniaan rezeki, dua hari selepas konvokesyen[setelah menganggur hampir lima bulan] akhirnya, dapat kerja [kerja sementara je]...rezeki seseorang itu adalah hak ketentuan Allah...syukur alhamdulillah =)

~Hari bahagia bersama keluarga tersayang.. terima kasih mak, ayah dan semua..~

~Moga-moga adik fie makin minat belajar..~

~Darwisy Aiman...cucu sulung atuk dan nenek ni
pun nak berjaya dunia akhirat...ameen~


~Syukran atas ucapan tahniah dan hadiah dari
sahabat2 semua~

~hadiah untuk diri sendiri...MAHABBAH...~

Apakah aku berpuas hati dengan pencapaian yang tak seberapa ini?. Berpuas hati tahap mana?. Hanya Allah Ta'ala Yang Maha Mengetahui...diri sendiri juga seharusnya tahu [kejayaan itu berkadar terus dengan pengorbanan]...berapa banyak aku berkorban untuk mencapai kejayaan ini?...

Sesungguhnya pengorbanan aku tak seberapa, justeru aku redha dengan segala rezeki dan ketentuanNya. Siapalah aku untuk melawan ketentuanNya Yang Maha Adil lagi Maha Bijaksana.

~KESUSAHAN HIDUP BUKAN HUKUMAN, sebaliknya ia adalah UJIAN untuk mendapatkan yang terbaik~

InshaAllah...aku boleh lebih berusaha untuk lebih berjaya di masa hadapan..

~SESUNGGUHNYA Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri (Ar-Ra'd, Ayat 11)~

"Wahai Allah... Engkau muliakan dan sayangi diri kami, berkati keluarga kami, sihatkan tubuh badan kami, limpahkan rezeki kami dengan rezeki yang halal lagi baik, jauhkan kami daripada fitnah, penganiayaan dan penghinaan, suburkan benih keimanan dengan penuh rasa kasih sayang serta taqwa tanpa alasan. Makbulkan impian kami yang murni..Amin Ya Rabbal A'lamin"

~Renungan Umurmu~


Renungkanlah pendeknya umurmu. Andaikata engkau berumur seratus tahun sekalipun, maka umurmu itu pendek jika dibandingkan dengan masa hidupmu kelak di akhirat yang abadi, selama-lamanya.

Cuba renungkan, agar dapat istirehat selama dua puluh tahun, dalam satu bulan atau setahun engkau sanggup menanggung berbagai beban berat dan kehinaan di dalam mencari dunia. Tetapi mengapa engkau tidak sanggup menahan beban ibadah selama beberapa hari demi mengharapkan kebahagiaan abadi di Akhirat nanti?

Jangan panjang angan-angan, engkau nanti akan berat untuk beramal. Yakinilah bahawa tidak lama lagi engkau akan mati. Katakan dalam hatimu :

"Pagi ini aku akan beribadah meskipun berat, siapa tahu nanti malam aku mati. Malam ini aku akan bersabar untuk beribadah, siapa tahu besok aku mati."

Sebab, kematian tidak datang pada waktu keadaan dan tahun tertentu. Yang jelas ia pasti datang. Oleh kerana itu, mempersiapkan diri menyambut kedatangan maut lebih utama dari mempersiapkan diri menyambut dunia. Bukankah kau menyedari betapa pendek waktu hidupmu di dunia ini? Bukankah boleh jadi ajalmu hanya tersisa satu tarikan dan hembusan nafas atau satu hari?

Setiap hari lakukanlah hal ini dan paksakan dirimu untuk sabar beribadah kepada ALLAH. Andaikata engkau ditakdirkan untuk hidup selama lima puluh tahun dan kau biasakan dirimu untuk sabar beribadah, nafsumu tetap akan memberontak. Tetapi ketika maut menjemput kau akan berbahagia selama-lamanya.

Tetapi jika engkau tunda-tunda dirimu untuk beramal, dan kematian datang di waktu yang engkau tidak sangkakan, maka kau akan menyesal dengan penyesalan yang tidak berpenghujung..

Habib AbduLLah bin Alwi al Haddad, An Nasha'ihud Diniyyah Wal Wasoya al Imaniyyah, Beirut cet 1, 1992, hal 245-246.


Sumber :
Novel bin Muhammad Alaydrus, Orang Bijak Berkata - Kumpulan Nasihat Sepanjang Masa, Cet 5 2008, Penerbit Taman Ilmu, Semanggi-Surakarta dipetik dari www.kekoh.blogspot.com

~Perkongsian ikhlas dan peringatan terutamanya buat diri sendiri dan kita semua hambaNYA..~

"wahai ALLAH, hidupkanlah kami dengan kehidupan hamba, matikanlah kami dengan kematian hamba, masukkanlah kami ke SyurgaMU bersama hamba-hambaMU yang Engkau redhai" ameen..

..CAHAya haTI..



Allah engkau dekat penuh kasih sayang
Takkan pernah engkau biarkan hamba-Mu menangis
Karna kemurahan-Mu
Karna kasih sayang-Mu

Hanya bila diri-Mu
Ingin nyatakan cinta
Pada jiwa yang rela dia kekasih-Mu
Kau selalu terjaga yang memberi segala

Reff:
Allah Rahman Allah Rahim
Allahu Ya Ghafar Ya Nurul Qolbi
Allah Rohman Allah Rahim
Allahu Ya Ghafar Ya Nurul Qolbi

Di setiap nafas di segala waktu
Semua bersujud memuji memuja asma-Mu
Kau yang selalu terjaga yang memberi segala

Back to Reff:

Setiap mahluk bergantung pada-Mu
Dan bersujud semesta untuk-Mu
Setiap wajah mendamba cinta-Mu cahaya-Mu

Back to Reff:

Yaa Allah Ya Rahman
Yaa Allah Yaa Alllah Yaa Allah
Ya Nurul Qolbi
Yaa Allah


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

..hiburan mendidik jiwa~

~pENYu di gANu kITe~

..::bEAuty & LoVE::..

..::bEAuty & LoVE::..